Tuesday, March 17, 2026

Ucapan Tahniah kepada Pelajar Diploma Perakaunan atas Keputusan Peperiksaan Semester Oktober 2025 – Februari 2026


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pelajar Perakaunan atas pencapaian yang telah diperoleh dalam keputusan peperiksaan bagi Semester Oktober 2025 – Februari 2026.

Pencapaian ini mencerminkan usaha yang gigih, komitmen yang berterusan, serta kesungguhan para pelajar dalam menempuh cabaran akademik sepanjang semester. Kejayaan yang diraih bukan sahaja membuktikan keupayaan pelajar dalam aspek akademik, malah turut menggambarkan disiplin, ketekunan, dan semangat untuk terus mencapai kecemerlangan.

Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, diharapkan kejayaan ini akan menjadi dorongan untuk terus mengekalkan prestasi yang membanggakan. Bagi pelajar yang masih belum mencapai sasaran yang diharapkan, keputusan ini wajar dijadikan sebagai pemangkin untuk terus memperbaiki prestasi, memperkukuh usaha, dan melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan beriltizam.

Pihak fakulti amat berharap agar semua pelajar terus berusaha dengan penuh dedikasi, mengekalkan integriti dalam pembelajaran, serta memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk meningkatkan ilmu, kemahiran, dan sahsiah diri sebagai bakal profesional dalam bidang perakaunan.

Sekali lagi, tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pelajar Perakaunan atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus melakar kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Anis Barieyah Binti Mat Bahari
Koordinator Pra Siswazah

Wednesday, January 28, 2026

Debit Credit Brunch Bash: Merapatkan Silaturahim, Memperkukuh Amanah Akademik


Jengka, 28 Januari 2026 – Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program santai Debit Credit Brunch Bash bertempat di Bilik Anjung Khazanah Alam (bilik kaca) bermula jam 9.00 pagi. Program berbentuk potluck ini berjaya menghimpunkan warga fakulti dari Kampus Jengka dan Raub dalam suasana mesra, santai dan penuh makna.

Seramai 16 orang pensyarah dari Jengka serta wakil dari Kampus Raub telah dijemput hadir, melibatkan penyertaan pensyarah dan Pensyarah Sambilan Sepenuh Masa (Part-Time Full-Time) PTFT. Walaupun beberapa pensyarah Raub tidak dapat hadir atas urusan rasmi dan cuti belajar, program tetap berlangsung meriah dengan kehadiran rakan-rakan akademik yang memberi sokongan padu.

Majlis dimulakan dengan taklimat oleh Pn. Syahida Md Zeni berkaitan pelaksanaan Program e-Filing 2026, yang menjadi antara inisiatif utama fakulti dalam memperkukuh khidmat komuniti dan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).

Seterusnya, Pn Anis Barieyah Mat Bahari, Koordinator Program mengambil kesempatan untuk berkongsi amanah dan peringatan penting dalam suasana yang santai tetapi penuh makna. Beliau mengingatkan warga fakulti agar terus konsisten meningkatkan penerbitan berindeks, dengan sasaran untuk tampil sebagai first author atau corresponding author demi mengukuhkan profil akademik fakulti. Turut dimaklumkan bahawa semakan silibus program akan dijalankan pada Oktober 2026, justeru semua pensyarah digalakkan untuk bersedia lebih awal. 

Dalam masa yang sama, beliau menekankan kepentingan memasukkan markah dengan tepat dan berintegriti, kerana ia adalah amanah besar kepada pelajar dan institusi. Ucapan tersebut ditutup dengan nada penuh empati, apabila beliau mendoakan agar semua pensyarah dipermudahkan urusan mengawas peperiksaan dan menanda skrip, sambil mengucapkan terima kasih atas komitmen yang tidak pernah luntur walaupun dalam jadual kerja yang padat.

Majlis ini turut diserikan dengan perpisahan rasmi Pn. Suliza Suhaimin, pensyarah PTFT yang akan meninggalkan fakulti. Warga Fakulti Perakaunan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan, serta mendoakan kejayaan berterusan dalam fasa seterusnya kehidupan beliau.

Program Debit Credit Brunch Bash bukan sekadar sesi makan bersama, tetapi menjadi platform memperkukuh hubungan profesional, menyelaras hala tuju akademik, dan menyemai semangat kekeluargaan dalam kalangan warga Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang.

Selari dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG), program ini menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui perkongsian taklimat e-Filing dan pengukuhan amalan akademik (pemantapan pengajaran, penilaian, serta budaya penerbitan berindeks). Pada masa yang sama, program ini turut menyumbang kepada SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat kerana menggalakkan kolaborasi dan penyelarasan antara warga Fakulti Perakaunan (Jengka dan Raub) termasuk PTFT dalam menjayakan inisiatif fakulti dan program komuniti. 

Secara tidak langsung, semangat kekitaan dan sokongan sesama rakan kerja yang dipupuk juga mencerminkan SDG 3: Kesihatan Baik & Kesejahteraan, apabila ruang santai seperti ini membantu kesejahteraan emosi, motivasi dan work-life harmony dalam kalangan staf.

 






Thursday, November 6, 2025

Panduan Pembatalan Peranti



Untuk makluman tuan/puan ada pengguna IOS yang telah berjaya atasi masalah berkenaan. 
Mohon untuk cuba lakukan langkah-langkah berikut; 

1. Uninstall apps dan Install semula apps 

2. ⁠Selepas berjaya install semula, tuan/puan perlu login dan perlu membuat permohonan BATAL PERANTI (popup mesej peranti tidak didaftarkan selepas uninstall tadi)

3. ⁠Selepas pegawai benar/pelulus meluluskan permohonan batal peranti, tuan/puan perlu logout terlebih dahulu dan login semula untuk proses daftar semula peranti.

4. klik sini install semula  https://hr2u.uitm.edu.my/hr2u/mobileapp.html

5. Seterusnya
  • Setting
  • General
  • vpn&device management
  • trust “UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA”
  • allow&restart
  • login HR2
  • batalkan peranti
  • Maklumkan pada KPP/Koordinator/PTJ terlibat untuk approve
  • Selesai

Thursday, October 23, 2025

Forum Kesedaran Salah Laku Pelajar - Apa yang Perlu Anda Tahu












Forum Kesedaran Salah Laku Pelajar – Apa yang Perlu Anda Tahu telah berlangsung pada 23 Oktober 2025 (Khamis), jam 4.00–5.40 petang di Dewan Kuliah At-Tabari. 

Program anjuran Fakulti Perakaunan ini menghimpunkan semua pelajar Semester 5 bagi memperkukuh kefahaman tentang tatakelakuan, disiplin akademik, serta implikasi undang-undang di kampus. 

Sesi dikupas oleh dua penceramah dari UiTM Cawangan Pahang, Puan Suria Fadhillah binti Md Pauzi, Penasihat Undang-Undang, yang menerangkan rangka peraturan universiti (Akta 157) contoh salah laku (seperti kesalahan akademik, penyalahgunaan kemudahan,  seksual dan buli), serta proses siasatan dan akibat tatatertib; dan Tuan Adrusham bin Che Lah, Pegawai Keselamatan merangkap Ketua Unit Pejabat Polis Bantuan, yang menekankan aspek pencegahan, keselamatan kampus, saluran aduan, serta peranan pelajar sebagai rakan kolaborasi keselamatan. 

Para peserta diberi panduan praktikal untuk mengelak risiko salah laku, cara bertindak jika menyaksikan insiden, dan amalan beretika yang mencerminkan integriti warga UiTM. Dengan komitmen bersama, forum ini menutup tirai dengan seruan agar setiap pelajar terus menjaga reputasi fakulti dan universiti melalui kepatuhan kepada peraturan dan budaya saling hormat. 


Friday, October 10, 2025

Mesyuarat Kesedaran Terhadap Salah laku Pelajar









Forum Kesedaran Terhadap Salah Laku Pelajar (Pra-Pengumuman)
Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Polis Bantuan UiTM Pahang dan Penasihat Undang-Undang UiTM Pahang akan menganjurkan Forum Kesedaran Terhadap Salah Laku Pelajar bagi memperkukuh kefahaman pelajar tentang tingkah laku tidak bermoral dan implikasi undang-undang serta disiplin. 

Objektif Utama
  1. Memupuk kesedaran tentang salah laku/aktiviti tidak bermoral yang boleh mengundang tindakan undang-undang dan tatatertib. 
  2. Memahami kepentingan menjaga nama baik diri, keluarga dan universiti, serta amalan disiplin yang baik. 
  3. Mengukuhkan nilai insaniah: maruah diri, keseimbangan akademik-rohani, dan persekitaran kampus yang sihat. 
Butiran Program
Tarikh/ Hari: Khamis - 23 Oktober 2025 
Tempat: Dewan Dewan At Tabari, UiTM Cawangan Pahang 
Sasaran Peserta: Pensyarah & pelajar Diploma Perakaunan (AC110) Semester 5 

Panel Jemputan
  1. Encik Adrusham bin Che Lah
  2. Cik Suria Fadhlillah binti Md Pauzi 

Ucapan Tahniah kepada Pelajar Diploma Perakaunan atas Keputusan Peperiksaan Semester Oktober 2025 – Februari 2026

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh p...