Thursday, October 1, 2026

UiTM Pahang Diiktiraf Sebagai Rakan Strategik Pendidikan HASiL Pahang

KUANTAN, 1 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menerima Sijil Penghargaan sebagai Rakan Strategik Pendidikan HASiL Pahang sempena Majlis Peluncuran Bulan HASiL Peringkat Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Dewan Indera Perdana, Pejabat HASiL Kuantan.

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Pengarah Negeri HASiL Pahang, Amilin bin Mahir, sebagai penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama strategik UiTM Cawangan Pahang dalam menyokong usaha pendidikan serta kesedaran percukaian dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.

UiTM Cawangan Pahang merupakan antara lapan rakan strategik daripada institusi pendidikan yang dipilih oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Negeri Pahang. Pemilihan tersebut mengambil kira penglibatan institusi pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan pendidikan percukaian, termasuk program akademik yang menawarkan subjek berkaitan taxation.

Bagi UiTM Cawangan Pahang, kerjasama bersama HASiL bukanlah sesuatu yang baharu. Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah menjalinkan kolaborasi dengan LHDN/HASiL sejak tahun 2016, khususnya melalui penganjuran program berkaitan e-Filing, kesedaran percukaian dan pendidikan cukai.

Program e-Filing yang dianjurkan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan warga UiTM, malah turut diperluaskan kepada masyarakat setempat. Melalui program tersebut, peserta didedahkan kepada tatacara pengisian cukai pendapatan, penggunaan sistem e-Filing serta kepentingan melaksanakan tanggungjawab percukaian dengan betul.

Kerjasama ini turut memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya kepada pelajar dalam bidang perakaunan yang mempelajari subjek percukaian. Pendedahan secara langsung kepada pihak HASiL membolehkan pelajar memahami bagaimana pengetahuan teori yang dipelajari di dalam kelas diaplikasikan dalam persekitaran sebenar.

Pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Pendidikan HASiL Pahang turut mencerminkan sumbangan UiTM Cawangan Pahang terhadap agenda Sustainable Development Goals (SDG). Inisiatif pendidikan percukaian yang dilaksanakan menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui peningkatan literasi percukaian dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Pada masa yang sama, hubungan berterusan antara UiTM Cawangan Pahang dengan HASiL Pahang memperkukuh SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, khususnya melalui kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan. Usaha meningkatkan kefahaman tentang tanggungjawab, pematuhan dan integriti dalam sistem percukaian turut mempunyai kaitan dengan SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh.

Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian bermakna kepada UiTM Cawangan Pahang, khususnya Fakulti Perakaunan, selepas hampir sedekad membina hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kesedaran percukaian.

Diharapkan hubungan strategik antara UiTM Cawangan Pahang dan HASiL Pahang akan terus diperkukuhkan melalui lebih banyak program seperti seminar percukaian, klinik e-Filing, program kesedaran cukai, perkongsian kepakaran serta aktiviti libat sama bersama komuniti.

Pengiktirafan ini juga membuktikan bahawa kolaborasi universiti dan agensi kerajaan mampu memberikan impak yang lebih luas apabila ilmu akademik diterjemahkan kepada pendidikan dan perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.


No comments:

Post a Comment